Hasrat untuk menubuhkan Koperasi kakitangan bermula pada tahun 1992-1993 semasa Puan Hajjah Zalmah Mahusin menyandang Jawatan Pengurus Zon Timur serta pada dasarnya mendapat sokongan dari Pengurusan Tertinggi AIM.
Mesyuarat pertama membincangkan penubuhan koperasi ini dipengurusikan oleh Pengurus Zon Timur dan diadakan di Pejabat Zon Timur di Pasir Puteh, Kelantan. Ahli mesyuarat yang hadir pada mesyuarat tersebut ialah Pengurus Wilayah, Pegawai Rancangan dan Pengurus-pengurus Cawangan Zon Timur dari Negeri Kelantan dan Terengganu.
Hasil dari mesyuarat tersebut, satu majlis penerangan ke arah penubuhan koperasi telah diadakan untuk penerangan kepada seluruh kakitangan di Wilayah Kelantan dan Terengganu. Majlis tersebut telah diadakan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, Kelantan. Penerangan telah disampaikan oleh En. Mohd Nor bin Ya, Pegawai Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri Kelantan.
Siri Mesyuarat Penubuhan telah berlangsung beberapa kali selepas itu, namun terdapat beberapa halangan yang telah membantutkan usaha penubuhan koperasi.
Seterusnya pada akhir 1995, dalam Mesyuarat Exco Persatuan Kebajikan Kakitangan AIM (PKKAIM) yang diadakan di Pusat Latihan AIM, Baling, Tuan Hj. Mukhtar Ramli selaku Pengarah Urusan AIM mencadangkan PKKAIM, melalui Biro Pengembangan menubuhkan Koperasi Kakitangan AIM.
Bermula dari itu, sekali lagi Wilayah Kelantan dan Terengganu di pilih bagi menubuhkan koperasi ini memandangkan kalangan kakitangan telah memahami perkara berkaitan penubuhan koperasi. Usaha penubuhan menjadi lebih mudah kerana En. Sabri, Pegawai Jabatan Pembangunan Koperasi sangat kuat menyokong penubuhan ini.
Setelah urusan penubuhan diaturkan, Mesyuarat Penaja telah diadakan pada 11hb. April, 1996 bertempat di Dewan Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, Kelantan. Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Urusan, Tuan Hj. Mukhtar Ramli dengan dihadiri oleh Pengarah Pengurusan Tuan Hj.Zaidan Ismail, Pegawai Jabatan Pembangunan Koperasi En. Sabri, Exco-exco PKKAIM serta lebih 100 kakitangan dari Wilayah Kelantan dan Terengganu.
Dengan berakhirnya Mesyuarat Penaja tersebut, maka tertubuhlah Koperasi Kakitangan AIM Berhad (KKAIMB). Matlamat penubuhannya adalah menurut seksyen 4(1) Akta Koperasi 1993 iaitu meningkatkan kepentingan ekonomi anggotanya menurut prinsip-prinsip koperasi.
12 Lembaga Penaja KKAIMB terdiri daripada En. Shahrin Abdullah, En. Ahmad Jusoh, En. Mohd Ramdani Kassim, En. Zulkiafli Khalid, En. Rosli Abdul, En. Faizal Noor Laiman, En. Abdul Rahim Abdul Ghani, Puan Alwani Shafie, En. Ismail Hasim, En. Saiful Kamar Omar, En. Mohd Naim Abdul Rahman dan En. Burhan Mahamud.
Kesemua Lembaga Penaja telah dilantik sebagai Ahli Lembaga bagi Penggal Pertama. Dalam Mesyuarat Lembaga yang Pertama, KKAIMB telah melantik En.Ahmad Jusoh sebagai Pengerusi Lembaga, En. Shahrin Abdullah sebagai Naib Pengerusi, En.Abdul Rahim Abdul Ghani sebagai Setiausaha dan En. Mohd Ramdani Kassim sebagai Bendahari.
Seterusnya KKAIMB terus berkembang dan membuka keahliannya bukan hanya kakitangan AIM, malah turut dianggotai oleh Sahabat AIM. Selepas itu nama koperasi telah ditukarkan dari KKAIMB (Koperasi Kakitangan AIM Berhad) kepada KAIMB(Koperasi AIM Berhad).
